KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius keadaan kolam takungan banjir di ibu negara apabila kapasiti badan air tersebut kini dianggarkan hanya sekitar 30 peratus daripada saiz asal, susulan pembangunan yang telah diluluskan sejak beberapa tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sebanyak 17 lot tanah melibatkan kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu telah diberi milik kepada pihak pemaju sejak tahun 2015.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air tersebut telah diserah hak milik untuk tujuan pembangunan, sekali gus menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir berkenaan.

“Anggaran sebanyak 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air telah diserah hak milik kepada pemaju sehingga menyebabkan berkurangnya kapasiti berbanding keluasan asal 33.5 hektar,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Menara DBKL sebentar tadi.

Hannah berkata, berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keadaan itu turut menjejaskan fungsi asal kolam serta menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan akses jentera.

Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku Wangsa Maju.

Pihak DBKL juga telah menutup kawasan tersebut sebagai langkah keselamatan sementara kerja-kerja baik pulih dijalankan. -KL Broadcast