PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan yang diberikan pengamal media kepada suruhanjaya itu sepanjang beliau menerajui agensi berkenaan.

Beliau berkata, sokongan daripada media arus perdana, portal berita dan media elektronik bukan hanya ditujukan kepada dirinya, sebaliknya kepada SPRM secara keseluruhan.

“Sepanjang karier saya, tidak pernah saya lihat rakan-rakan media memberikan sokongan seperti sekarang.

“Saya sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka terhadap media termasuk menerima kritikan serta laporan yang disiarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Menurut beliau, meskipun terdapat laporan yang mungkin menyinggung pegawai-pegawai SPRM, perkara itu dilihat dari sudut positif demi kepentingan organisasi dan rakyat.

Majlis berkenaan diadakan sempena persaraan Azam yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-63.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu turut menegaskan bahawa prinsip keterbukaan menjadi pegangan utama dalam pentadbiran SPRM kerana ia penting bagi memastikan organisasi mampu menangani pelbagai isu secara berkesan.

Dalam pada itu, Azam turut menekankan peranan penting Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam membantu mengurus persepsi masyarakat serta menjelaskan tindakan yang diambil suruhanjaya selama ini.