KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun lepasan sijil itu masih diberi laluan khas untuk mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), tertakluk kepada syarat dan ketetapan universiti.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman berkata setiap permohonan pelajar berkelulusan UEC akan dinilai secara individu berdasarkan syarat serta kriteria kemasukan yang ditetapkan oleh universiti.
Beliau berkata, dasar sedia ada kekal dan tiada perubahan dibuat terhadap pendirian kerajaan mengenai pengiktirafan UEC sebagai kelayakan rasmi dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, peluang kemasukan yang diberikan kepada lepasan UEC bertujuan memastikan pelajar berpotensi tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam bidang tertentu yang memenuhi keperluan universiti.
Tambah beliau, IPTA turut mengambil kira pencapaian akademik, keperluan program serta penguasaan bahasa sebelum sesuatu permohonan diluluskan.
Dalam masa sama, KPT menegaskan setiap keputusan berkaitan kemasukan pelajar dibuat secara telus dan selaras dengan dasar pendidikan tinggi negara. -KL Broadcast