KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos, selesai selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Khairy memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berhubung kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari tahun sama.

Jamal ketika membacakan draf penghakiman persetujuan mengakui dakwaannya terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak disokong bukti mencukupi.

“Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan itu yang menyebabkan gangguan, penghinaan awam serta kerosakan kepada reputasi, nama baik dan kredibiliti Khairy.

“Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang saya keluarkan terhadap Khairy pada sidang media dan penerbitan itu,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada Khairy atas kesulitan, tekanan dan kerosakan reputasi yang timbul akibat daripada kenyataan berkenaan. -BERNAMA