Seremban – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. Langkah itu dilihat sebagai langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku di negeri itu.
Mohamad berkata, langkah tersebut mampu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan pihak yang layak mentadbir negeri berkenaan.
Menurut beliau, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, secara prinsipnya telah hilang kepercayaan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan UMNO menarik sokongan terhadapnya.
“Jangan kita terus bising ‘kulu-kilir’ kerana ia akan menyebabkan rakyat berasa tidak tenteram. Dalam keadaan dunia yang tidak stabil akibat peperangan ketika ini, kita perlu menyelesaikannya dengan baik,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan di Stadium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sendayan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata untuk mengurus negara dan negeri secara bersama, bukannya mencetuskan ketidaktenteraman awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut mencadangkan supaya Sidang DUN diadakan segera bagi memberi ruang kepada Aminuddin membuktikan beliau masih memiliki sokongan majoriti untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan bahawa kesemua 14 ADUN parti itu sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat serta perlembagaan negeri.
Krisis adat di Negeri Sembilan mula mendapat perhatian selepas tindakan Undang Luak mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balai Undang Luak Sungai Ujong.