AMPANG JAYA — Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan tapak khas untuk aktiviti ibadah korban melibatkan komuniti Rohingya.

Menurut laporan Astro Awani, langkah itu diambil susulan kebimbangan penduduk setempat terhadap pengurusan penyembelihan korban yang sebelum ini didakwa dilakukan di lokasi tidak sesuai serta tanpa pematuhan prosedur kebersihan.

Ahli Majlis MPAJ, Mohammad Firdaus Babh berkata, terdapat segelintir warga asing sebelum ini melaksanakan ibadah korban di kawasan awam seperti padang, kaki lima premis perniagaan dan kawasan perumahan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan sisa darah dan cebisan daging berterabur di jalan raya ketika proses membawa pulang daging korban, sekali gus menimbulkan masalah kebersihan dan bau tidak menyenangkan kepada penduduk sekitar.

Katanya, sekiranya tidak dikawal, keadaan tersebut boleh menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada masyarakat setempat selepas beberapa bulan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari menjelaskan bahawa pihaknya menyediakan tapak khas lengkap dengan kemudahan asas bagi memastikan proses korban berjalan lebih tersusun dan sistematik.

Antara kemudahan disediakan termasuk khemah, bekalan air bersih dan jentera pembersihan. Selain itu, lembu yang ingin dikorbankan juga perlu didaftarkan terlebih dahulu bagi memudahkan pemantauan.

Tinjauan mendapati suasana sambutan Aidiladha di Taman Melur berlangsung dalam keadaan terkawal dengan sebanyak 74 ekor ternakan terdiri daripada lembu dan kerbau berjaya disembelih sebelum tengah hari.

Peserta korban daripada komuniti Rohingya, Habib Eliyas berkata, daging korban diagihkan bukan sahaja kepada komuniti mereka, malah turut dikongsi bersama masyarakat lain tanpa mengira bangsa dan kewarganegaraan.

Seorang lagi peserta, Mubarak Abul Bashar berkata, pengagihan daging dilakukan mengikut tuntutan agama dengan mengutamakan golongan memerlukan.