Polis mengesahkan kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang semalam dipercayai berpunca daripada tindakan dua pemandu kereta mewah memandu laju dan secara melulu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku apabila sebuah BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain.

Nahas itu mengorbankan empat individu dalam sebuah Toyota Vios, manakala pemandu BMW terbabit turut meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Beberapa mangsa lain termasuk dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Polis turut menahan pemandu Mercedes-Benz A250 berusia 19 tahun bagi membantu siasatan. Ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.