LOS ANGELES – Keluarga pelakon Hollywood, Bruce Willis dilaporkan mempertimbangkan untuk mendermakan otaknya kepada penyelidikan saintifik selepas pemergiannya bagi membantu kajian mengenai penyakit Frontotemporal Dementia yang dihidapinya.
Laporan agensi menyebut keluarga Willis mahu menderma otak aktor itu bagi tujuan penyelidikan saintifik bagi memperluaskan pemahaman terhadap penyakit Frontotemporal Dementia yang dihidapinya.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada keluarga aktor berusia 71 tahun itu mengenai perkara tersebut.
Willis bersara daripada dunia lakonan pada 2022 selepas disahkan menghidap Aphasia sebelum keadaan kesihatannya berkembang kepada Frontotemporal Dementia setahun kemudian, yang menjejaskan keupayaan komunikasi dan fungsi kognitifnya.
Pakar perubatan menyifatkan sumbangan organ untuk penyelidikan sebagai langkah penting dalam memahami perkembangan penyakit berkenaan serta membantu usaha mencari rawatan yang lebih berkesan.
Pelakon yang terkenal menerusi watak John McClane dalam francais Die Hard itu turut membintangi pelbagai filem popular termasuk Pulp Fiction, Armageddon, The Sixth Sense dan The Fifth Element, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara bintang terbesar Hollywood. -Agensi