KUALA LUMPUR – Parti Democratic Action Party (DAP) mengesahkan akan mempertahankan kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.

Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata keputusan itu selari dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di semua 36 kerusi DUN di negeri berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor yang bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor

“DAP akan mempertahankan semua 11 kerusi kami (di PRN Negeri Sembilan).

Pendirian kita jelas, UMNO mahu lawan semua (kerusi) di Johor, PH mahu lawan semua (kerusi) di Negeri Sembilan.

“Di Negeri Sembilan, kita tidak boleh bercakap tentang kerjasama. Keseluruhan idea pembubaran (DUN) ini kerana UMNO sudah menarik sokongan mereka.

“Bagaimana kita boleh berkata sekarang, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk mengelakkan sebarang kekalahan.”

Beliau turut menegaskan bahawa jalan terbaik ketika ini adalah mengembalikan mandat kepada rakyat menerusi PRN yang bakal diadakan.

Sebelum ini, 14 ADUN UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sehingga menyebabkan beliau kehilangan majoriti dalam DUN.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN bersedia menghadapi PRN Negeri Sembilan dan terbuka untuk meneruskan kerjasama bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan masih terlalu awal untuk rundingan rasmi dilakukan.