KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyindir Datuk Onn Hafiz Ghazi, susulan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu bahawa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
Loke dalam satu hantaran melalui Facebook, hari ini, turut membayangkan secara sinis bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP pada peringkat Persekutuan.
“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP… hebat! Teruskan keangkuhan kamu.
“Tapi, Presiden anda (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tiap-tiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP ya… harap maklum, terima kasih!” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor, hari ini, menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini.
Onn Hafiz dipetik berkata, landskap politik Johor berbeza dengan situasi pada peringkat Persekutuan, dan BN Johor tidak pernah bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran negeri.
Onn Hafiz sekali gus menekankan bahawa pelbagai dakwaan dan persepsi politik yang berlegar dalam media sosial, perlu ditangani dengan fakta.
Beliau dipetik berkata, ia termasuk dakwaan kononnya ‘BN dan DAP akan bekerjasama’, serta naratif bahawa kerajaan negeri tidak akan stabil.
Onn Hafiz menegaskan rakyat Johor sudah matang dan mampu menilai antara fitnah dengan fakta.