Sungai Petani – Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga minyak walaupun berdepan tekanan kenaikan harga global kerana langkah itu akan memberi kesan langsung kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kerajaan pernah menanggung subsidi bahan api sehingga RM7 bilion sebulan ketika harga minyak memuncak dan kini masih membelanjakan sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion sebulan bagi mengekalkan harga yang rendah.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak mahu bergantung kepada hutang untuk membiayai subsidi, sebaliknya memilih langkah penjimatan serta menutup ketirisan supaya harga petrol RON95 dapat dikekalkan pada RM1.99 seliter.
Sebaliknya, Anwar berkata kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.
“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik, kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion sebulan pun ada.
“Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” kata beliau ketika berucap melancarkan Program Himpunan Rakan Muda MADANI, di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya kerajaan mengeluarkan sebanyak RM3 bilion setiap bulan untuk tempoh 10 bulan, jumlahnya mencecah RM30 bilion.
Perdana Menteri berkata walaupun jumlah itu tinggi, kerajaan mampu menampungnya menerusi langkah penjimatan selain menghentikan ketirisan dana negara. Beliau turut menolak cadangan pihak tertentu agar kerajaan membuat pinjaman atau berhutang bagi membolehkan kerajaan terus menampung kos subsidi minyak.
Anwar berkata langkah kerajaan itu membolehkan harga minyak di negara ini, khususnya petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter, menjadi antara yang terendah di dunia.