Iskandar Puteri – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP sekiranya kembali diberi kepercayaan mentadbir negeri selepas PRN Johor.


Pengerusinya, Onn Hafiz Ghazi, berkata pendirian itu mendapat sokongan penuh kepimpinan Umno Johor serta parti-parti komponen BN yang mahu bertanding menggunakan kekuatan sendiri di semua 56 kerusi DUN.


Menurut beliau, pendirian tersebut telah dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi parti dan BN Johor tetap berpegang kepada prinsip itu walaupun berjaya membentuk kerajaan negeri. Malah, beliau menegaskan lebih sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar daripada menerima kerjasama dengan DAP.


Onn Hafiz turut menolak dakwaan bahawa pendirian berkenaan berunsur perkauman. Katanya, rakyat pelbagai kaum di Johor terus menikmati manfaat dan bantuan kerajaan negeri tanpa sebarang perbezaan layanan.


Beliau dalam masa sama mempertahankan pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ), sambil menyifatkan kritikan terhadap program itu hanya muncul selepas BN mengumumkan hasrat bertanding di semua kerusi DUN pada PRN akan datang.