HULU LANGAT – Isu penempatan komuniti Rohingya di Sungai Tekali dipercayai berlarutan susulan tindakan beberapa pemilik tanah yang membenarkan kawasan mereka digunakan untuk tujuan kediaman tanpa kelulusan pihak berkuasa.
ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, selain pembinaan struktur secara tidak sah, terdapat juga kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang disediakan, sekali gus menggalakkan penempatan itu terus berkembang.
Beliau menjelaskan perkara tersebut selepas sebuah video mengenai penempatan berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, isu itu telah lama berada dalam perhatian pihak berkuasa dan pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
Johan turut menghargai usaha penyampai radio dan pempengaruh media sosial, Azad Jasmin atau Pak Azad, yang membantu mengetengahkan isu berkenaan kepada pengetahuan umum, sambil menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan oleh agensi berkaitan.