TAPAH- Keadaan jambatan kayu yang semakin usang dan rosak di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, lokasi penemuan pendaki wanita yang hilang sebelum ini, mendapat perhatian MCA apabila parti itu menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 bagi membina jambatan baharu.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon, berkata sumbangan tersebut disalurkan segera selepas beliau mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung yang memaklumkan kos pembinaan jambatan gantung sepanjang kira-kira 50 meter itu dianggarkan sekitar RM2,000.
Menurutnya, hasil tinjauan di lokasi mendapati jambatan sedia ada berada dalam keadaan tidak selamat dan boleh mengundang risiko kepada pengguna.
“Penduduk memaklumkan mereka mampu membina sendiri jambatan tersebut. Apabila ditanya mengenai kos yang diperlukan, mereka menganggarkan sekitar RM2,000,” katanya selepas melawat Jaslinda Saludin yang sedang menerima rawatan di Wad Perempuan Hospital Tapah, hari ini.
Mah Hang Soon yang juga Ketua MCA Bahagian Tapah menjelaskan, jambatan berkenaan memainkan peranan penting sebagai laluan utama penduduk untuk ke kebun, kawasan menoreh getah serta tanah perkuburan.
Jaslinda sebelum ini ditemukan pada Sabtu lalu oleh dua penduduk kampung, Nazri a/l Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, ketika mereka sedang memancing di Sungai Woh yang terletak berhampiran kampung tersebut.
Mangsa ditemui pada hari ke-14 selepas dilaporkan hilang. Ketika itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala kecil memasuki hari ketiga selepas operasi SAR berskala besar yang dijalankan dari 25 Mei hingga 3 Jun ditamatkan.
Wanita berkenaan ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran kawasan lata air terjun Sungai Woh sekitar jam 5.10 petang. Difahamkan, ketika ditemui, beliau sedang cuba menyeberangi sungai menggunakan jambatan kayu yang telah lama rosak dan reput.