IPOH – Daerah Manjung dipercayai mempunyai populasi etnik Rohingya paling ramai di negeri Perak susulan perkembangan pesat sektor pembinaan dan industri maritim di kawasan itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebanyakan daripada mereka memiliki kad yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian atau UNHCR.
Menurut beliau, pihak kerajaan negeri bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar serta status keseluruhan etnik berkenaan kerana bilangannya yang besar.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi di Ipoh, hari ini.
Saarani menjelaskan, kerajaan negeri mengambil maklum isu berkenaan menerusi perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara selain menerima pelbagai aduan dan kebimbangan daripada penduduk tempatan.
Walaupun tidak mendedahkan angka sebenar kehadiran etnik Rohingya di Perak khususnya di Manjung, beliau berkata peningkatan jumlah mereka berpotensi memberi implikasi kepada masyarakat setempat termasuk dari aspek keselamatan dan sosial.
Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan terus memantau perkembangan tersebut bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Menurut Saarani, semua individu yang dikenal pasti kini berada dalam radar pihak berkuasa dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Isu kehadiran warga Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini sebelum ini turut mendapat perhatian masyarakat, khususnya di daerah yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan maritim.