KUALA LUMPUR – Tirai Piala Dunia FIFA 2026 rasmi dibuka dengan perlawanan pembukaan membabitkan tuan rumah Mexico menentang Afrika Selatan pada jam 3 pagi nanti.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi kejohanan FIFA World Cup 2026 di Malaysia bagi memastikan seluruh rakyat dapat menikmati temasya bola sepak terbesar dunia itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.
Edisi kali ini mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya 48 negara mengambil bahagian dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia itu. Kejohanan berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.
Sepanjang tempoh kejohanan sehingga 19 Julai depan, sebanyak 104 perlawanan akan berlangsung melibatkan pasukan-pasukan terbaik dunia yang bersaing merebut trofi paling berprestij dalam sukan bola sepak.
Tumpuan peminat kini terarah kepada juara bertahan Argentina serta pencabar utama seperti Brazil, Perancis, England dan Sepanyol.
Kejohanan kali ini dijangka menjadi antara Piala Dunia paling meriah dalam sejarah dengan format baharu yang menawarkan lebih banyak perlawanan dan penyertaan negara.