KUALA LUMPUR – Komuniti Rohingya yang menetap di Malaysia diingatkan supaya mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk dalam urusan perniagaan dan pembangunan premis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia terhadap pelarian berasaskan prinsip kemanusiaan, namun perkara itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan peraturan yang ditetapkan oleh negara.

Menurut beliau, sebarang aktiviti perniagaan atau pembinaan perlu mematuhi syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar.

Anwar berkata isu berkenaan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Katanya, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan setiap pembangunan dan aktiviti yang dijalankan mematuhi peraturan sedia ada.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu pelarian Rohingya tidak boleh dilihat secara mudah dengan hanya mencadangkan mereka dihantar pulang ke negara asal.

Menurutnya, usaha repatriasi berdepan pelbagai cabaran kerana situasi politik dan pendirian kerajaan Myanmar yang menyukarkan proses tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata kerajaan sedang meneroka pelbagai pilihan termasuk penempatan di negara ketiga selain mencari jalan untuk penghantaran pulang yang lebih sesuai, namun setakat ini belum ada penyelesaian yang benar-benar berkesan.

Tambahnya, masalah itu bukan hanya dihadapi Malaysia, malah negara jiran seperti Bangladesh turut menanggung beban besar dengan menempatkan jutaan pelarian Rohingya.

Anwar turut memaklumkan bahawa isu tersebut telah dibincangkan bersama kepimpinan Jepun dalam usaha mencari pendekatan yang lebih menyeluruh di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar terus mengamalkan nilai belas ihsan dan kemanusiaan dalam berdepan isu pelarian, sambil memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa dihormati.