SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan beliau akan mempertahankan karier politiknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 akan datang, namun belum memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal diwakilinya.

Naib Presiden PKR itu berkata, penentuan kerusi yang akan ditandingi bukan keputusan individu sebaliknya bergantung kepada perancangan dan strategi yang ditetapkan oleh kepimpinan parti.

Menurutnya, beliau bersedia untuk bertanding dalam PRN akan datang, namun lokasi kerusi yang bakal menjadi medan perjuangannya masih belum dimuktamadkan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Aminuddin berseloroh dengan mengatakan beliau masih menunggu “mimpi” sebelum membuat keputusan berhubung kerusi yang akan ditandingi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang berlangsung di Seremban awal pagi tadi.

Dalam masa sama, Aminuddin memaklumkan bahawa Presiden DAP yang juga Setiausaha Agung PH, Anthony Loke, dijangka terus mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya ketika ini.

Kenyataan tersebut sekali gus menjawab spekulasi yang timbul mengenai kedudukan Aminuddin sama ada akan terus mempertahankan DUN Sikamat atau berpindah ke kawasan lain bagi menghadapi PRN akan datang.

Setakat ini, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung perkara itu kepada pucuk pimpinan parti demi memastikan strategi terbaik dapat dilaksanakan untuk menghadapi saingan pilihan raya.