PETALING JAYA – Pelakon terkenal, Lisa Surihani, akhirnya kembali ke tanah air selepas lebih sebulan berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Kepulangan aktres berusia 40 tahun itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 disambut penuh kegembiraan oleh suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim, bersama tiga cahaya mata mereka.

Suasana di balai ketibaan bertukar sayu apabila anak-anak pasangan itu dilihat berlari mendapatkan ibu mereka sebaik sahaja Lisa melangkah keluar sebelum memeluknya dengan penuh kerinduan.

Yusry pula tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila memeluk erat isterinya dan mengucup dahinya sebagai tanda kasih serta syukur atas kepulangan selamat wanita tersebut.

Menerusi perkongsian video di Instagram, anggota kumpulan KRU itu mengakui suasana kediaman mereka terasa berbeza sepanjang ketiadaan Lisa yang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, segala urusan ibadah haji isterinya telah berjalan lancar dan beliau amat bersyukur kerana akhirnya dapat menyambut kepulangan insan tersayang ke pangkuan keluarga.

Dalam rakaman yang sama, Lisa turut kelihatan sebak dan mengalirkan air mata ketika bertemu semula dengan suami serta anak-anak selepas berjauhan dalam tempoh yang agak lama.

Sebelum ini, Lisa berangkat ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima secara bersendirian tanpa ditemani suaminya.

Difahamkan, Yusry tidak dapat menyertainya selepas permohonan visa hajinya tidak diluluskan, sekali gus menyebabkan hasrat mereka untuk menunaikan ibadah tersebut bersama-sama tidak kesampaian.