LONDON – Nama Sir David Beckham bukan lagi hanya sinonim dengan kejayaan di padang bola sepak, malah beliau kini muncul sebagai antara tokoh perniagaan paling berjaya dengan nilai kekayaan yang mencecah berbilion ringgit.

Menurut laporan Sunday Times Rich List 2026, Beckham dan keluarganya memiliki kekayaan dianggarkan sekitar RM6.42 bilion. Peningkatan tersebut didorong oleh kejayaan pelbagai perniagaan di bawah kendaliannya, termasuk DB Ventures dan Studio 99 yang terus berkembang pesat.

Bekas kapten England itu turut menikmati kejayaan besar menerusi penglibatannya dalam kelab Inter Miami CF. Nilai pasukan berkenaan kini dianggarkan melebihi RM5 bilion, terutama selepas kehadiran bintang Argentina, Lionel Messi, yang memberi impak besar kepada jenama dan populariti kelab tersebut.

Kejayaan itu berpunca daripada keputusan strategik Beckham ketika menyertai LA Galaxy suatu ketika dahulu apabila beliau memperoleh hak opsyen francais MLS pada harga yang jauh lebih rendah berbanding nilai semasanya.

Pada masa sama, Beckham terus memainkan peranan penting dalam pembangunan Inter Miami, termasuk projek pembinaan stadium baharu Miami Freedom Park. Beliau juga menerima satu lagi penghormatan besar apabila namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame pada Jun tahun ini.

Sumbangan Beckham turut mendapat pengiktirafan daripada institusi diraja Britain. Selepas menerima anugerah Officer of the Order of the British Empire (OBE) pada 2003, beliau dikurniakan gelaran kesatria oleh Raja Charles III pada November 2025, sekali gus melayakkannya menggunakan gelaran “Sir”.

Walaupun bersara daripada bola sepak profesional sejak 2013, legasi Beckham di atas padang masih kekal utuh. Sepanjang karier antarabangsa, beliau mencatat 115 penampilan bersama England dan menjaringkan 17 gol.

Beliau juga dikenang sebagai pemain England pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga kejohanan Piala Dunia berbeza, iaitu pada 1998, 2002 dan 2006.

Detik sukar dalam kariernya berlaku pada Piala Dunia 1998 apabila beliau dilayangkan kad merah ketika menentang Argentina. Namun, Beckham bangkit menebus kesilapan itu dengan menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ke atas lawan yang sama pada kejohanan 2002.

Di peringkat kelab pula, Beckham mencipta sejarah bersama Manchester United apabila membantu pasukan itu meraih Treble pada 1999, selain muncul antara pemain yang berjaya menjuarai liga domestik di empat negara berbeza.