ALOR SETAR – PAS Kedah meletakkan sasaran besar untuk menguasai sepenuhnya landskap politik negeri itu dengan memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan tersebut turut merangkumi hasrat menawan semua 15 kerusi Parlimen di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, usaha itu termasuk merampas semula kerusi Parlimen Sungai Petani serta tiga kerusi DUN yang kini berada di bawah penguasaan Pakatan Harapan (PH), iaitu Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Katanya, jentera parti perlu mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan PAS untuk mencapai sasaran berkenaan kerana semangat kemenangan hanya dapat dibina melalui matlamat yang jelas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, malam tadi.
Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa sasaran tersebut bukan sesuatu yang mustahil berdasarkan pencapaian PAS di Terengganu yang berjaya menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN pada PRN 2023.
Beliau turut mengimbau kejayaan PAS Kedah pada pilihan raya negeri lalu apabila sasaran untuk memenangi 33 kerusi DUN berjaya direalisasikan, manakala pihak pembangkang hanya memperoleh tiga kerusi.
Justeru, beliau optimis PAS mampu meningkatkan pencapaian itu dengan memenangi kesemua kerusi DUN yang dipertandingkan pada masa hadapan jika mendapat sokongan berterusan rakyat.
Untuk rekod, penggal semasa DUN Kedah akan berakhir pada Ogos 2028 selepas pilihan raya negeri terakhir diadakan pada Ogos 2023.