MELAKA – Kehadiran komuniti Rohingya yang semakin bertambah di beberapa kawasan di Melaka mula menimbulkan kebimbangan apabila terdapat segelintir daripada mereka yang didakwa mengemukakan tuntutan di luar skop status mereka sebagai pelarian.

Menurut laporan Berita Harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung tindakan individu dalam komuniti tersebut yang cuba mendapatkan pengiktirafan rasmi dalam masyarakat setempat.

Dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di kawasan Parlimen Kota Melaka, khususnya di Duyong, Limbongan dan Pengkalan Rama Pantai.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk cadangan melantik wakil Rohingya dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Limbongan, selain permohonan untuk menganjurkan solat Jumaat secara berasingan di Pengkalan Rama Pantai. Terdapat juga individu yang dilaporkan cuba memohon tauliah mengajar agama daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Mohd Noor Helmy menegaskan bahawa kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau perkembangan tersebut bagi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun hak beragama pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dihormati, sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat atau mengganggu ketenteraman awam tidak akan dipandang ringan.

Tambah beliau, Malaysia menerima kehadiran golongan Rohingya atas dasar kemanusiaan, namun status mereka kekal sebagai pelarian dan bukan warganegara.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar perdebatan politik, sebaliknya turut melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara.

Selain itu, pihaknya turut menerima aduan berkaitan sikap segelintir individu dalam komuniti tersebut yang didakwa kurang mematuhi prosedur serta menunjukkan tingkah laku tidak sopan ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan.