TAIPING – Rakyat Malaysia diseru untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian antara kaum bagi memastikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara terus terjamin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang dimiliki Malaysia merupakan satu kekuatan yang perlu dipelihara melalui sikap saling memahami, menghormati dan bekerjasama.
Beliau mengibaratkan masyarakat Malaysia seperti sebuah orkestra yang memerlukan setiap alat muzik dimainkan secara harmoni bagi menghasilkan persembahan yang indah dan sempurna.
“Dalam negara yang kaya dengan kepelbagaian, kita perlu sentiasa menghormati serta memahami perbezaan antara satu sama lain. Jika terus bertelagah, ia bukan sahaja menghalang kemajuan negara malah boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.
“Menjelang musim pilihan raya, rakyat tidak seharusnya membiarkan perbezaan pandangan politik memecahbelahkan hubungan sesama masyarakat. Sebaliknya, semangat perpaduan, kematangan dan saling menghormati perlu terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 yang berlangsung di Taiping pada Sabtu.
Menurut Kor Ming, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini tersenarai sebagai antara 12 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global, sekali gus membuktikan kejayaan negara dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan.
Beliau berkata, pencapaian tersebut wajar dihargai dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas mengenai festival berkenaan, Kor Ming berkata penyertaan kumpulan pancaragam belia dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Hong Kong membuktikan masyarakat daripada pelbagai latar belakang mampu bekerjasama serta hidup dalam suasana harmoni.
Katanya, muzik merupakan bahasa sejagat yang mampu merapatkan hubungan antara komuniti tanpa mengira kaum, agama, bahasa atau kewarganegaraan, selain menjadi medium untuk memupuk persahabatan dan persefahaman.
Tambah beliau, sesebuah bandar bertaraf dunia tidak hanya diukur melalui pembangunan ekonomi, malah turut dinilai menerusi kemajuan seni, budaya dan aktiviti kreatif yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur, pendidik, sukarelawan, penaja dan rakan strategik yang menjayakan festival tersebut serta mempromosikan warisan Taiping dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Kor Ming berharap hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang festival itu dapat diteruskan, selain menggesa rakyat Malaysia untuk terus menghayati nilai hormat-menghormati, disiplin, persefahaman dan perpaduan sebagai asas membina negara yang lebih kukuh dan maju.