GURUN – Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas terlibat dalam insiden letupan ketika menjalani latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, mengesahkan mangsa yang terkorban ialah Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Menurut beliau, kedua-dua anggota mengalami kecederaan serius akibat letupan yang berlaku semasa Latihan Membaling Grenad dalam program Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia pada kira-kira jam 10.57 pagi.

“Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

TDM memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Insiden berkenaan menggemparkan warga kem dan seluruh warga TDM, selain menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota yang sedang menjalankan tugas dan latihan demi mempertahankan negara.