PUTRAJAYA – Nasib tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK), sekali lagi menjadi tumpuan apabila satu laporan baharu mengenai keadaan mereka diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Aktivis pencinta haiwan, Datin Shereen Yunos, berkata laporan berkenaan akan dijadikan rujukan dalam perbahasan Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 22 Julai depan, bagi membantu kerajaan menilai cadangan membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke Malaysia.

Menurut beliau, laporan yang disediakan oleh pakar pemuliharaan hidupan liar, William Keith Lindsay, mengandungi penilaian berdasarkan rakaman video selama 155 jam yang memantau keadaan dan tingkah laku DAK di Zoo Tennoji.

Katanya, analisis tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa mereka menghabiskan tempoh yang lama dalam ruang tertutup yang terhad.

“Matlamat kami adalah memastikan DAK dapat kembali ke persekitaran yang lebih sesuai dengan sifat semula jadi mereka. Usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak,” katanya kepada media di lobi NRES hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kandungan penuh laporan itu kerana ia berpotensi digunakan dalam proses perundangan selain perlu diteliti terlebih dahulu oleh pihak kementerian.

Dalam perkembangan sama, Penasihat Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan), Norashikin Che Omar, mempersoalkan laporan yang dirujuk oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang menyatakan ketiga-tiga gajah tersebut berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata pihaknya mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai sumber laporan berkenaan, termasuk pihak yang menjalankan penilaian dan kriteria yang digunakan sebelum kesimpulan tersebut dibuat.

Norashikin turut menyuarakan kebimbangan terhadap perubahan fizikal Dara dan Amoi yang didakwa menunjukkan peningkatan berat badan berdasarkan pemerhatian terhadap rakaman video yang tular.

Menurutnya, sebarang penilaian mengenai tahap kesihatan dan kebajikan gajah perlu dilakukan secara profesional oleh pakar veterinar serta pasukan bebas yang mempunyai kepakaran khusus dalam pengurusan gajah.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, memaklumkan bahawa penghantaran DAK ke Jepun pada 10 Mac lalu merupakan sebahagian daripada program konservasi yang dirancang lebih 10 tahun lalu menerusi kerjasama antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.

Isu berkenaan terus menjadi perhatian masyarakat selepas rakaman video keadaan DAK di Jepun tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi berkaitan aspek kebajikan serta kesejahteraan haiwan tersebut.