KAZAN- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pelbagai soalan daripada media antarabangsa di luar Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan.

Beliau menyentuh hubungan ASEAN-Rusia, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan, kesusasteraan Rusia dan krisis kemanusiaan di Gaza. Anwar menegaskan bahawa potensi kerjasama antara ASEAN dan Rusia masih jauh lebih besar berbanding tahap penglibatan semasa. 

Menurut beliau, ASEAN dan Rusia boleh memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan pelbagai hala dan dialog dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks. 

Sesi tersebut berlangsung sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia 2026 yang menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog antara ASEAN dan Rusia.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga, keselamatan makanan, budaya dan hala tuju Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia bagi tempoh 2026–2030

—Bernama