KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular di media sosial semalam selepas didakwa menengking isterinya di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden berkenaan yang mengundang kecaman orang ramai.
Video kejadian itu yang tersebar sejak semalam di media sosial menunjukkan lelaki tersebut dipercayai meninggikan suara terhadap isterinya di lokasi kejadian, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Hakeem menerusi beberapa hantaran di Facebook mengakui kesilapan yang berlaku dan berjanji untuk memperbaiki sikapnya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja, manakala isterinya pula mahu menyambung kerja lebih masa (OT).
“Assalamualaikum kepada semua yang nak tahu cerita sebenar, aku nak pergi kerja, bini pula nak sambung OT. Itu yang aku marah,” katanya.
Mohd. Hakeem turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan tindakannya itu. -KL Broadcast