SEREMBAN – Sebuah kereta mewah yang dipandu seorang lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merupakan antara 145 kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini.
Kenderaan berkenaan disita selepas didapati menggunakan cukai jalan yang telah tamat tempoh menerusi Op Luxury yang dilaksanakan sejak awal tahun. Difahamkan, ketika ditahan minggu lalu, kereta tersebut telah dihias untuk digunakan dalam sebuah majlis perkahwinan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu, berkata sebanyak 870 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut, dengan 145 daripadanya disita. Antara kenderaan yang disita termasuk model mewah seperti BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus dan BMW Limousine.
Menurut beliau, tujuh daripada kenderaan mewah yang disita melibatkan warga asing, termasuk dari China, Pakistan dan Bangladesh, selain seorang pemegang kad UNHCR.
Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans serta kesalahan berkaitan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh.
“Selain itu, kami turut memberi perhatian terhadap pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ dan pelbagai pelanggaran lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa setiap kesalahan yang dikesan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk sitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah.
“Nilai atau status sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang. Kami akan terus meningkatkan kekerapan dan intensiti operasi penguatkuasaan, khususnya melibatkan kenderaan mewah, melalui rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya berada pada tahap tertinggi,” katanya.