KLUANG – DAP mempertaruhkan calon baharu iaitu seorang peguam wanita berusia 33 tahun bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, yang juga akan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Chu Poh Yee dipilih sebagai calon pertama yang diumumkan DAP, menggantikan penyandang dua penggal, Chew Chong Sin. Beliau dijangka akan dicalonkan di Parlimen Labis pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam satu majlis di Kluang malam tadi.

Menurut Anthony Loke, pengenalan calon baharu ini tidak bermaksud penyandang sebelum ini diketepikan.

Beliau menjelaskan Chew Chong Sin telah berkhidmat di DUN Mengkibol sejak 2018 dan sepanjang dua penggal, prestasinya sebagai ADUN dianggap baik serta dihargai rakyat.

“Beliau bukan diganti, sebaliknya akan diberi tanggungjawab lebih besar sebagai calon Parlimen Labis,” katanya.

Tambahnya, langkah meletakkan muka baharu juga mencerminkan usaha DAP memberi peluang lebih luas kepada calon wanita untuk berkhidmat.

Katanya lagi, calon yang diketengahkan mempunyai kelayakan akademik yang baik, kemahiran bahasa yang kukuh serta berasal dari kawasan tempatan.

DAP akan mengumumkan calon-calon lain secara berperingkat, termasuk beberapa nama bagi kawasan Johor Jaya yang akan diumumkan pada Sabtu ini di Johor Bahru.