KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan serta menyita dua akaun bank milik parti tersebut.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini menganggotai Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tindakan SPRM adalah sah di sisi undang-undang serta tidak mempunyai unsur niat jahat atau penyalahgunaan kuasa seperti yang didakwa.

Menurut laporan  KOSMO! ONLINE, permohonan semakan itu difailkan pada Mac 2023 oleh pegawai awam Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya bersama presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menamakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta 19 pihak lain sebagai responden.

Bersatu mendakwa pembekuan akaun CIMB dan AmBank miliknya dilakukan tanpa perintah penyitaan yang sah mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

Namun mahkamah berpandangan bahawa proses pembekuan yang dijalankan oleh SPRM adalah teratur, berlandaskan undang-undang serta berada dalam skop kuasa siasatan agensi tersebut.

Dalam hujahan sebelum ini, pihak kerajaan menegaskan bahawa tindakan SPRM dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah undang-undang, manakala wang dalam akaun berkenaan adalah milik parti dan bukan individu.

Mahkamah turut menerima hujahan bahawa proses siasatan dan tindakan yang diambil adalah berkaitan dengan kapasiti Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu serta kedudukannya sebagai pegawai awam.