JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyamar sebagai individu yang mahu memeriksa dokumen sebelum merompak serta mencederakan dua warga asing etnik Rohingya di Taman Perling, akan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, Khamis ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, keputusan mendakwa lelaki berusia 25 tahun itu dibuat selepas kertas siasatan kes tersebut dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor hari ini.

Menurutnya, suspek berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.

“Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan bagi setiap pertuduhan.

“Suspek turut akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab. Rahaman sebelum ini memaklumkan suspek ditahan pada 5.40 petang Jumaat lalu selepas polis menerima dua laporan daripada mangsa masing-masing berusia 25 dan 35 tahun.

Kes pertama berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal untuk mencari pelanggan bagi kerja memotong rumput dihentikan suspek di Taman Perling.

Suspek kemudian meminta untuk memeriksa dokumen sebelum mengambil kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan mesin pemotong rumput milik mangsa.

Dalam kejadian kedua di kawasan berhampiran, seorang lagi warga asing turut ditahan suspek yang meminta mangsa menyerahkan kad UNHCR.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sebelum suspek menumbuk dan mengugut mangsa.

Hasil penahanan lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu, polis merampas sebuah mesin pemotong rumput, kunci motosikal, sepasang pakaian, sebilah parang dan sekeping kad UNHCR.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading