ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan isterinya cedera selepas kenderaan Nissan Teana yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di persimpangan lampu isyarat Jelatang, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, Zulkifli yang memandu kenderaan berkenaan dilaporkan mengalami luka pada kedua-dua tangan, manakala isterinya mengadu sakit di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ahmad Abu Bakar berkata, pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah kilang mengalami kecederaan lebih serius apabila patah tulang rusuk serta tulang pinggul.
“Tiga lagi penumpang di dalam Perodua Axia hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Nissan Teana yang dipandu Ahli Parlimen Jasin itu sedang melalui persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang datang dari arah Alor Gajah menuju ke Gadek.
Susulan kejadian itu, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.