KUALA LUMPUR – Wanita yang menjadi perhatian ramai susulan video tular melibatkan sekumpulan pelancong Malaysia di China tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Nur Asyiqin Mohd. Dalil mengakui kesilapannya dan menyatakan rasa kesal terhadap reaksi spontan yang berlaku ketika beliau bercuti di China pada 15 Jun lalu.
Menurutnya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan tersebut yang telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Saya menghormati segala pandangan, teguran serta perasaan semua pihak. Saya tidak pernah berniat untuk menghina, mengaibkan atau mencetuskan sebarang perselisihan kerana tindakan tersebut berlaku secara spontan dan tidak dirancang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setiap kritikan yang diterima akan dijadikan pengajaran dan diterima dengan hati terbuka.
“Saya benar-benar menyesali perbuatan tersebut dan sedar tindakan saya melampaui batas. Peristiwa ini mengajar saya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan serta lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik dan berjanji untuk menjadikan pengalaman tersebut sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang serta bertanggungjawab pada masa hadapan.
Sebelum ini, tular rakaman video yang memaparkan sekumpulan pelancong dari Malaysia mengeluarkan kata-kata seperti ‘busuk’ dan ‘tak mandi’ ketika berada di kawasan awam di China, sekali gus mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk rakyat tempatan.
Walaupun video asal telah dipadam, rakaman tersebut sempat dikongsikan semula oleh pengguna media sosial dan turut mendapat perhatian beberapa portal berita antarabangsa. -KL Broadcast