JAKARTA – Penduduk di sebuah perkampungan di Indramayu, Jawa Barat gempar apabila sejumlah wang tunai berjumlah 850 juta rupiah (RM197,679) bertaburan di tengah jalan selepas dipercayai dicampakkan oleh sekumpulan pencuri yang sedang melarikan diri.

Menurut portal berita Lambe Turah, wang berkenaan dipercayai dilarikan daripada ejen BRILink Guwa Kidul sebelum suspek bertindak menaburkannya di kawasan berhampiran Blok Pondokasem, Desa Jengkok bagi mengelak daripada dikejar pihak berkuasa.

Rakaman kejadian yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan orang ramai berebut-rebut mengutip wang tersebut, manakala seorang anggota polis dilihat menggesa penduduk supaya memulangkan wang berkenaan kerana ia merupakan bahan bukti kes kecurian.

Video itu telah meraih lebih 178,800 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

“Jangan pulangkan duit itu kepada polis!” tulis seorang pengguna media sosial dalam ruangan komen.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. – AGENSI