KUALA LUMPUR, 21 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran peruntukan dan dana kepada pengamal serta organisasi media merupakan tanda penghargaan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap jasa serta peranan penting yang dimainkan oleh golongan tersebut dalam pembangunan negara.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menjaga kebajikan pengamal media, malah membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital dan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
“Peruntukan dan dana ini adalah sebagai tanda penghargaan serta sokongan berterusan kepada kebajikan pengamal media yang telah banyak berjasa kepada negara, selain membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, media yang kukuh, berintegriti dan berwibawa merupakan antara tonggak penting dalam membina masyarakat yang bermaklumat serta memperkukuh amalan demokrasi dan perpaduan negara.
Justeru, kerajaan komited untuk terus memperkasakan industri media agar dapat memainkan peranan secara bebas, bertanggungjawab dan relevan seiring dengan perkembangan semasa.

