KUALA LUMPUR – Kumpulan nu metal terkenal dari Amerika Syarikat, Limp Bizkit, bakal menggegarkan pentas Malaysia buat julung kalinya menerusi konsert eksklusif “One-Stop Asia Show” yang dijadual berlangsung pada 9 Disember 2026.

Penganjur, Hitman Solutions, memaklumkan persembahan tersebut akan diadakan di Stadium Hoki Nasional, sekali gus menandakan kemunculan sulung kumpulan legenda itu di hadapan peminat tempatan.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, pihaknya berbangga kerana Malaysia dipilih sebagai destinasi yang menghimpunkan peminat dari seluruh Asia untuk menyaksikan secara langsung persembahan salah satu kumpulan muzik paling ikonik dunia.

“Kami berbangga dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi buat peminat dari seluruh Asia berkumpul dan menyaksikan persembahan secara langsung daripada sebuah kumpulan muzik yang benar-benar ikonik,” katanya.

Pengumuman berkenaan mencetuskan keterujaan dalam kalangan penggemar muzik rock dan nu metal yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan persembahan mereka secara langsung.

Jualan tiket akan dibuka bermula 30 Jun 2026 pada jam 12 tengah hari menerusi platform rasmi Hitman Live.

Konsert itu dijangka menerima sambutan hangat kerana Kuala Lumpur merupakan satu-satunya destinasi di Asia yang dipilih dalam siri jelajah kumpulan berkenaan.

Limp Bizkit ditubuhkan pada tahun 1994 di Jacksonville, Florida dan muncul sebagai antara nama terbesar dalam perkembangan genre nu metal yang mendominasi industri muzik antarabangsa pada penghujung 1990-an hingga awal 2000-an.

Diketuai oleh vokalis Fred Durst, kumpulan itu mencipta populariti menerusi deretan lagu hit seperti Rollin’, My Way, Break Stuff, Nookie dan Take a Look Around, yang masih menjadi kegemaran peminat sehingga kini.

Dengan gabungan elemen metal, rap, hip hop dan rock, Limp Bizkit dianggap sebagai antara perintis utama muzik nu metal bersama kumpulan seperti Korn, Linkin Park dan Slipknot.

Nama mereka terus melonjak di peringkat antarabangsa menerusi album Significant Other serta Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water, yang mencatat jualan berjuta-juta naskhah di seluruh dunia dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh pada era tersebut.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.