KUALA LUMPUR – Empat daripada enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang dikaitkan dengan insiden buli telah dibuang sekolah, manakala dua lagi digantung persekolahan sementara menunggu hasil siasatan polis.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM bermesyuarat bagi meneliti kes berkenaan sebelum mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terbabit.
Menurut beliau, dua pelajar yang masih digantung sekolah akan ditentukan nasib mereka selepas polis mengesahkan sama ada mereka turut terbabit melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa sepanjang kejadian.
Asyraf Wajdi berkata, beliau berasa berat hati melihat ibu bapa membawa pulang anak masing-masing selepas keputusan disiplin diumumkan, namun menegaskan tindakan itu selaras dengan pendirian MARA yang tidak akan berkompromi terhadap budaya buli di institusi pendidikannya.
“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri menghukum pelajar-pelajar terbabit.
“Apa-apapun saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan Jawatankuasa Disiplin Maktab kerana mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam sebagaimana arahan saya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan dakwaan membabitkan beberapa pelajar junior yang dipercayai memiliki barang larangan turut sedang disiasat. Bagaimanapun, katanya, sebarang kesalahan yang dilakukan mangsa atau pelajar lain tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil tindakan sendiri atau melakukan perbuatan buli.
Terdahulu, pada Ahad lalu, polis menahan enam pelajar lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian membuli seorang pelajar tingkatan dua berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Muar yang dipercayai berlaku pada Mei lalu.


Leave a Reply