JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan mudah terpedaya terhadap janji-janji yang tidak mampu ditunaikan sehingga menjejaskan masa depan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Beliau berkata, walaupun yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod dan prestasi yang meyakinkan untuk terus mentadbir negeri ini, namun tetap menyimpan kebimbangan sekiranya pengundi sekali lagi terpengaruh dengan naratif politik seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Saya yakin dengan sokongan rakyat, tetapi pada masa yang sama saya tidak dapat menafikan masih ada rasa bimbang jika sejarah 2018 berulang. Apabila rakyat disajikan dengan harapan palsu, janji-janji kosong dan pelbagai janji yang sukar ditunaikan, saya khuatir Bangsa Johor sekali lagi akan terpedaya.

“Sebab itu saya berharap rakyat membuat pilihan berdasarkan prestasi dan bukannya janji semata-mata, supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya ketika ditemui Kosmo! dalam temu bual eksklusif di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini semalam.

Pengerusi BN Johor itu berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir Johor sepanjang lebih empat tahun lalu menerusi pelbagai pencapaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, Johor kini muncul antara negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di negara ini, selain mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak Johor.

Katanya, kejayaan itu turut diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan rakyat termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ), pembangunan perumahan mampu milik, bantuan kepada mahasiswa, Sekolah Rintis Bangsa Johor serta pelbagai program memperkasa golongan belia.

“Semua pencapaian ini membuktikan kerajaan BN mampu mentadbir secara berkesan. Namun masih banyak perancangan yang ingin kami laksanakan sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada BN untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading