PETALING JAYA – Seorang pempengaruh media sosial yang aktif menghasilkan kandungan berkaitan bola sepak cedera selepas diserang dua lelaki dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, laporan berhubung kejadian diterima pada pukul 7.56 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum dihampiri dua individu yang menaiki motosikal Yamaha LC.
“Tanpa sebarang amaran, kedua-dua suspek bertindak memukul mangsa beberapa kali sebelum merakam insiden tersebut dan melarikan diri.
“Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata selain beberapa kecederaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, polis kini sedang mengenal pasti identiti suspek dan motif kejadian masih disiasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan rakaman kejadian di media sosial sehingga boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.


Leave a Reply