KUALA LUMPUR – Seorang remaja mendakwa pengalaman pertamanya pulang bersendirian dari Indonesia bertukar menjadi insiden yang tidak dijangka apabila ditahan ketika pemeriksaan di kaunter Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana membawa masuk bakso.
Menerusi perkongsian di Threads, remaja itu mendakwa beliau diminta membuat bayaran sebanyak RM100 melalui kod QR yang didakwa dipautkan kepada akaun peribadi sebelum dibenarkan meninggalkan lapangan terbang.
Menurutnya, beliau mengakui mungkin melakukan kesalahan kerana membawa masuk makanan tersebut, namun mempersoalkan kaedah pembayaran yang dikenakan kerana tidak menerima sebarang resit rasmi.
Katanya, sekiranya benar melakukan kesalahan, beliau bersedia mematuhi prosedur yang ditetapkan termasuk membayar kompaun secara sah kepada pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, remaja terbabit memaklumkan telah membuat laporan polis dan berkongsi tangkap layar yang menunjukkan aduannya telah diterima.
Beliau turut mendakwa wang RM100 yang dibayar sebelum ini telah dipulangkan selepas isu berkenaan tular di media sosial.
Setakat ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang tular itu.
Sumber asal perkongsian adalah menerusi akaun Threads milik Brayenn Gabriel.


Leave a Reply