REMBAU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan (PRN16), sebaliknya mengalihkan sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi PRN Melaka.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Presiden Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Timbalan Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Agung, Syukri Razab.
Menurut mereka, beberapa faktor termasuk kekangan masa, sumber serta keutamaan strategi politik mendorong parti membuat keputusan tersebut.
Bersama berpendapat PRN Negeri Sembilan mempunyai landskap politik yang berbeza berbanding PRN Johor, dengan saingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka lebih sengit memandangkan PH merupakan kerajaan negeri sedia ada.
Selain itu, parti berkenaan berpandangan keputusan pilihan raya itu berpotensi memberi kesan kepada beberapa isu politik semasa, termasuk perkembangan melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, Bersama akan mengadakan mesyuarat khas pada 21 Julai ini bagi memulakan persediaan awal menghadapi PRN Melaka, termasuk menentukan kerusi yang akan ditandingi dan menyenarai pendek calon.
Pada PRN Johor baru-baru ini, Bersama mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyertai pilihan raya negeri dengan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun, semua calon parti itu gagal memenangi kerusi yang ditandingi dan turut hilang deposit selepas tidak memperoleh jumlah undi minimum yang ditetapkan.


Leave a Reply