KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan gabungan itu tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan sentimen perkauman atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai gabungan politik pelbagai kaum yang telah wujud lebih enam dekad, BN kekal berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan dalam mentadbir negara.

Menurut beliau, politik yang memecahbelahkan rakyat berdasarkan kaum sudah tidak lagi mempunyai tempat dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu.

“BN menolak sebarang kenyataan yang mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menghidupkan semula sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Dalam masa sama, beliau berkata BN turut menolak politik ketakutan yang didakwa dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu membentuk kerajaan.

Katanya, pendekatan sedemikian hanya akan mencetuskan prasangka, kebencian dan menghakis keharmonian masyarakat.

Mengulas persefahaman politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Zambry menegaskan kerjasama yang diwujudkan tidak bermaksud BN menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berkata BN akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara.

Beliau berkata BN akan terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan, selain menolak mana-mana pihak yang cuba membina tembok perkauman dan memainkan politik ketakutan demi kepentingan politik.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading