KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggesa semua pihak menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta menerima mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua calon yang dipilih serta kerajaan negeri baharu yang bakal memikul tanggungjawab mentadbir Negeri Sembilan.
Menurut Nurul Izzah, persaingan politik berakhir sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan dan kini keutamaan perlu diberikan kepada amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, setiap wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab mewakili seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik, selain memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Keperluan rakyat tidak mengenal warna parti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, petugas bilik gerakan, sukarelawan, pemerhati, penceramah, petugas media, anggota keselamatan serta semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh kempen.
Nurul Izzah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memastikan proses demokrasi berjalan dengan aman, lancar dan tertib.
Beliau berharap semua pihak terus diberikan kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah demi kepentingan rakyat dan negara.


Leave a Reply