KOTA BHARU – Polis Kelantan memberi jaminan kapasiti lokap di semua balai polis di negeri itu masih mencukupi walaupun operasi menangkap penagih dadah dijalankan setiap hari sejak pertengahan Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sehingga kini tiada sebarang gangguan terhadap operasi atau isu kekurangan ruang tahanan meskipun setiap balai melaksanakan tangkapan secara berterusan.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan operasi itu dilakukan mengikut perancangan yang telah disusun, dengan setiap ketua balai dipertanggungjawabkan mengesan dan menahan penagih di kawasan masing-masing.
Katanya, di peringkat daerah pula, tumpuan diberikan kepada usaha menumpaskan rangkaian pengedaran dadah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen memfokuskan operasi memburu ketua sindiket serta pengedar utama.
“Semua tindakan dilaksanakan mengikut peranan yang ditetapkan dan setakat ini tidak timbul masalah berkaitan kapasiti lokap,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di Tunjong, pada Ahad.
Menurut beliau, walaupun statistik penyalahgunaan dadah di Kelantan menunjukkan trend penurunan, operasi khas itu akan diteruskan sehingga pertengahan Oktober sebagai langkah memperkukuhkan usaha membanteras gejala berkenaan.
Beliau berkata, arahan mewajibkan setiap ketua balai menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bukan sahaja bertujuan meningkatkan penguatkuasaan, malah memastikan kehadiran polis di peringkat komuniti lebih berkesan dalam membendung aktiviti penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, keberkesanan pendekatan tersebut akan dinilai selepas tempoh pelaksanaan tamat sebelum sebarang keputusan mengenai kesinambungan operasi dibuat.


Leave a Reply