KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang didakwa dibuat dalam satu ceramah politik di Pahang, Jun lalu.

Memetik laporan Kosmo!, Anwar selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dengan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika berucap dalam ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lalu.

Klip ucapan berkenaan kemudiannya dimuat naik di akaun YouTube “@Malaysianometry” pada keesokan harinya dengan tajuk yang mengaitkan Anwar dengan dakwaan campur tangan dalam urusan politik dan institusi negeri.

Menurut Anwar, klip video berdurasi 11 minit itu telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen serta masih boleh diakses dan dikongsi orang awam.

Beliau turut mendakwa video berkenaan kemudiannya diterbitkan di akaun Facebook rasminya Tuan Ibrahim Tuan Man pada 15 Jun dan akaun Facebook PAS Pahang pada 24 Jun lalu.

Anwar mendakwa kenyataan tersebut secara langsung merujuk kepada diri, watak, integriti, jawatan, profesion serta kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau menegaskan kenyataan berkenaan tidak benar, palsu, tidak berasas, keterlaluan dan berniat jahat serta dibuat tanpa fakta atau bukti sokongan yang munasabah.

Dalam tuntutan itu, Anwar turut menafikan pernah campur tangan secara langsung atau tidak langsung dalam proses menentukan, memilih, mengundi atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Susulan dakwaan itu, beliau mendakwa reputasi, maruah, integriti, kredibiliti dan nama baiknya terjejas, termasuk dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Tambun.

Anwar turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Tuan Ibrahim atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah itu.

Beliau turut menuntut supaya semua penerbitan berkenaan dipadam daripada akaun media sosial dan platform di bawah milikan, jagaan atau kawalan defendan, selain menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading