PUTRAJAYA – Seramai 2,357 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Marsus berkata, kira-kira 80,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan berkenaan.
Menurutnya, penugasan turut meliputi kawalan keselamatan dan lalu lintas sempena Sambutan Ambang Merdeka Ke-69 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.
“PDRM akan menempatkan anggota di lokasi strategik, kawasan tumpuan awam serta laluan utama bagi memastikan ketenteraman awam, kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengunjung berada pada tahap optimum.
“PDRM turut melaksanakan Op Pencegahan Jenayah bersempena Sambutan Ambang Merdeka 2026 dengan memberi tumpuan kepada kawasan hotspot dan lokasi tumpuan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur turut mengawal pergerakan lalu lintas di beberapa lokasi utama termasuk Dataran Merdeka, KLCC dan Sunway Velocity.
Kawalan itu turut mengambil kira penganjuran acara pembakaran bunga api serta persembahan dron di Menara Kuala Lumpur pada malam sambutan.


Leave a Reply