KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa badan berkenaan tidak mengambil berat mengenai perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, untuk menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, MSN berkata pertemuan dengan pemenang dua pingat Olimpik itu sudah diadakan bagi membincangkan keperluan serta persiapan beliau menuju temasya berkenaan.

MSN menegaskan sokongan terhadap Azizulhasni sentiasa diberikan, termasuk dari segi penggunaan kemudahan sukan dan bantuan sains sukan bagi membantu persiapannya.

Menurut badan itu, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung Olympic Pathway bagi pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Azizulhasni.

“Majlis Sukan Negara sentiasa teguh dengan sokongan kepada Datuk Azizulhasni dan semua perancangan dibuat olehnya, terutamanya langkah persiapan ke arah temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” menurut kenyataan itu.

MSN turut memaklumkan bahawa Azizulhasni bersetuju supaya pengumuman bersama mengenai program latihannya ke LA28 dibuat selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober depan.

Sehubungan itu, MSN menyatakan rasa terkejut terhadap kenyataan jurulatih John Beasley yang mendakwa tiada perbincangan dilakukan mengenai perancangan masa depan Azizulhasni.

Menurut MSN, perkara tersebut sudah dibincangkan dalam pertemuan pada 13 Ogos lalu, termasuk persetujuan bahawa pengumuman mengenai program latihan Azizulhasni hanya akan dibuat secara bersama selepas Kejohanan Dunia.

MSN turut menyifatkan dakwaan bahawa pihaknya tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa dan sumbangan Azizulhasni sebagai tidak bertanggungjawab.

Badan itu menegaskan sokongan terhadap pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu kekal teguh, khususnya dalam usaha membantu persiapannya menuju LA28.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading