PUTRAJAYA – Kerajaan meningkatkan had kelayakan bulanan bagi pengguna BUDI95 dan BUDI Diesel berkuat kuasa 1 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, had BUDI95 dinaikkan daripada 200 kepada 300 liter sebulan, manakala kelayakan BUDI Diesel meningkat daripada 300 kepada 400 liter sebulan.
Menurut beliau, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 16 juta pengguna BUDI95 serta lebih 500,000 pengguna diesel, khususnya pemilik kenderaan pikap dan jip.
“Ini memanfaatkan 16 juta pengguna BUDI95 dan lebih 500,000 pengguna diesel, khususnya pikap dan jip,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan had kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter sebulan ketika skim berkenaan diperkenalkan sebelum dikurangkan kepada 200 liter mulai 1 April 2026.
Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bagi memastikan manfaat diberikan kepada golongan yang layak, selain mengurangkan risiko ketirisan.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata ketidaktentuan pasaran minyak dunia susulan perkembangan geopolitik, termasuk konflik di Asia Barat, turut memberi kesan kepada harga minyak dan pasaran tenaga global.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan dasar subsidi secara bersasar dengan mengambil kira keperluan rakyat serta kemampuan kewangan negara.


Leave a Reply