KOTA BHARU: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hadir ke Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS Ke-72 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Akmal tiba kira-kira jam 8.30 pagi bersama Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau turut diiringi kira-kira 25 delegasi Pemuda UMNO yang hadir ke muktamar berkenaan.
Dalam ucapan pada muktamar itu, Afnan Hamimi menghargai kehadiran rombongan Pemuda UMNO dan menegaskan usaha penyatuan umat tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan.
Menurutnya, usaha tersebut perlu dilakukan dengan ikhlas tanpa mengutamakan kepentingan kelompok, sebaliknya meletakkan kepentingan umat sebagai keutamaan.
Muktamar Dewan Pemuda PAS berlangsung selama dua hari bermula Rabu, manakala majlis perasmiannya disempurnakan Tuan Ibrahim pada Khamis.
Ini merupakan kali kedua rombongan UMNO menghadiri Muktamar PAS selepas penyertaan mereka pada Muktamar PAS di Pahang pada 2019.


Leave a Reply