PUTRAJAYA – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Kang Chang Heng, 47, kekal dihukum gantung selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya berhubung pembunuhan empat sekeluarga dalam kebakaran rumah di Tanjung Sepat, Sepang pada 2017.
Memetik laporan Sinar Harian, panel tiga hakim mendapati pembunuhan itu dilakukan dengan kejam apabila mangsa diserang sebelum rumah mereka dibakar dengan sengaja.
Empat mangsa yang maut ialah pasangan warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan Lim Mai Shak, 68, serta dua cucu mereka, Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9.
Seorang lagi cucu, Andrew Chia Zeng Haol, yang ketika itu berusia 11 tahun, terselamat namun mengalami kecederaan selepas lehernya dikelar. Dia turut menyaksikan rumah keluarganya terbakar dan mendengar rintihan mangsa yang terperangkap.
Mahkamah mendapati Chang Heng menyerang Lim Mai Shak sebelum mengejar dan menyerangnya lagi selepas mangsa terjatuh. Dia kemudian mengelar leher Andrew sebanyak dua kali sebelum membakar rumah tersebut.
Mahkamah turut menolak alasan bahawa status pekak dan bisu lelaki itu boleh meringankan kesalahan, selain mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun kerana mencederakan Andrew.
Kes tersebut berlaku pada awal pagi 13 Disember 2017. Chang Heng ditahan dua hari kemudian selepas polis mengesyaki empat mangsa yang ditemui rentung sebenarnya dibunuh sebelum rumah dibakar.


Leave a Reply